Kalendar suria Interkalasi_(waktu)

Tahun tropika atau suria tidak bundar bilangan harinya (iaitu kira-kira 365.24 hari), tetapi tahun takwim mestilah bundar bilangan hari. Cara yang paling am untuk menyelaraskan kedua-dua tahun ini adalah mengubah bilangan hari dalam tahun takwim.

Bagi kalendar suria, ini dilakukan dengan menokok tambah tahun am yang 365 hari dengan satu hari tambahan ("hari lompat") setiap empat tahun, maka jadilah tahun lompat dengan 366 hari (takwim-takwim Julius, Gregory mahupun Kebangsaan India).

Dekri Canopus yang dititahkan oleh Firaun Ptolemy III, Euergetes Mesir Purba pada 239 SM mengehendaki sistem hari lompat untuk takwim suria; tahun lompat Mesir hanya diterima guna pada 25 SM apabila Maharaja Rom Augustus berjaya memperkenalkan takwim Iskandariah.

Dalam takwim Julius dan juga penggantinya iaitu takwim Gregory, interkalasi dilakukan dengan menambahkan satu hari kepada Februari dalam setiap tahun lompat. Bagi takwim Julius, ini dilakukan setiap empat tahun. Demikian juga untuk takwim Gregory, cuma terkecualinya tahun-tahun yang boleh bahagi 100 tetapi bukan 400, untuk meningkatkan kejituan. Oleh itu 2000 adalah tahun lompat, tetapi tidak pula 1700, 1800, dan 1900.

Hari epagomen[1] merupakan hari yang tidak tergolong dalam mana-mana bulan biasa dalam takwim suria. Biasanya lima hari epagomen ditambahkan ke dalam setiap tahun (dalam takwim-takwim Mesir, Koptik, Habsyah, Haab Maya dan Republik Perancis), tetapi juga terdapat satu hari epagomen keenam yang diinterkalasikan empat tahun sekali dalam sesetengah takwim tersebut (Koptik, Habsyah dan Republik Perancis). Takwim Bahá'í merangkumi empat hari epagomen dengan hari interkalasi kelima untuk memadani corak interkalasi dalam takwim Gregory.